Tiada Bayaran di Sebalik Kemasukan Ahli STAR Tambunan ke PGRS – Victor

Tiada Bayaran di Sebalik Kemasukan Ahli STAR Tambunan ke PGRS – Victor

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor Paut menegaskan kemasukan bekas ahli Star Sabah ke parti itu bukan didorong oleh tawaran bayaran atau jawatan, sebaliknya atas faktor masa depan perjuangan.

Beliau berkata, tindakan tersebut yang dibuat jauh lebih awal sebelum pilihan raya adalah satu langkah drastik tetapi tepat, susulan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi yang mendakwa suara mereka tidak didengari dalam parti terdahulu.

Victor turut menolak dakwaan bahawa perpindahan itu didorong oleh imbuhan, sambil menegaskan bahawa jawatan di peringkat cawangan hingga bahagian telah pun diisi.

Jawatan sedia ada sudah diisi, jadi tuduhan bahawa mereka ditawarkan kedudukan adalah tidak berasas. Dakwaan mengatakan mereka dibayar juga tidak benar kerana mereka sendiri menyatakan perpindahan ini dibuat secara sukarela dan berpunca daripada kekecewaan terhadap pengalaman lalu,” katanya.

Beliau menambah, keyakinan terhadap kepimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menjadi faktor, dengan pelbagai inisiatif pembangunan termasuk infrastruktur luar bandar, pembangunan belia, pendanaan perniagaan, latihan kemahiran dan pendidikan.

Menurutnya, lebih banyak perancangan sedang dilaksanakan di bawah Pelan Sabah Maju Jaya 2.0 bagi memperkukuh ekonomi dan pembangunan negeri.