KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggesa parti-parti politik yang akan bertanding dalam Pilihanraya Umum ke- 15 supaya mengelak memasang bahan kempen seperti bendera atau sepanduk parti di tiang, peti pembekal, pencawang dan pepasangan elektrik yang lain.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata perbuatan itu boleh mengundang bahaya kerana berisiko terkena renjatan elektrik
“Selain renjatan elektrik, perlakuan ini boleh menyebabkan gangguan elektrik jika percikan arka (flashover) terjadi dan SESB berharap agar orang ramai sentiasa berhati-hati kerana dalam keghairan berkempen, kadangkala kita terlupa menjaga keselamatan diri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Perbuatan berbahaya itu menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) iaitu merosakkan pepasangan elektrik…
Menurut Ir. Idris, SESB akan sentiasa membuat pemantauan dan akan menanggalkan serta merta bahan kempen yang dipamer berhampiran atau di pepasangan elektrik milik SESB terutama yang mengundang risiko bahaya.
Orang ramai turut dinasihati untuk membantu melaporkan kepada pihak SESB sekiranya melihat sebarang keadaan yang boleh mengancam keselamatan dan menjejaskan bekalan elektrik kesan daripada bahan kempen yang diletak/dipasang di pepasangan elektrik.
Aduan atau makluman boleh disalurkan dengan menghubungi SESB Careline di 15454, 088-515000 atau Whatsapp 019-852 5427.