RMK13 Gimik Politik, Sabah Terus Tertindas – STAR

RMK13 Gimik Politik, Sabah Terus Tertindas – STAR

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai retorik kitar semula dan janji kosong untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata pengumuman peruntukan besar secara tiba-tiba bukan tanda keprihatinan tetapi taktik politik murahan selepas puluhan tahun pengabaian terhadap Sabah.

“Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menegaskan ukuran sebenar komitmen Putrajaya bukan jumlah bajet pembangunan, tetapi kesungguhan melaksanakan hak-hak Sabah di bawah MA63.

“Berhenti berbangga kononnya beri bantuan. Bayarlah apa yang menjadi hak Sabah,” katanya, merujuk kepada tuntutan 40 peratus hasil bersih yang belum diselesaikan.

Anuar turut mengkritik RMK13 kerana gagal menangani krisis banjir berterusan di Sabah secara telus dan menyeluruh, sedangkan negeri itu memerlukan sekurang-kurangnya RM17 bilion bagi projek mitigasi jangka panjang.

“Selagi kuasa membuat keputusan penting terus disekat di Putrajaya, Sabah akan kekal bergantung dan lemah,” katanya.

Beliau menegaskan Pilihan Raya Negeri 2025 menjadi medan menentukan masa depan Sabah.

“Sama ada rakyat akan terus menerima bantuan bermusim atau menuntut keadilan sebenar melalui pelaksanaan MA63 dan bayaran hak 40 peratus hasil negeri. Laksana MA63. Bayar hak Sabah sekarang. Keadilan untuk Sabah,” tegasnya.