
KOTA KINABALU, SABAH – Jerayawara pelancongan berdasarkan komuniti (CBTR) bakal kembali pada November ini yang bakal menampilkan beberapa pakar bertaraf antarabangsa dan peserta dalam usaha mempromosikan tawaran destinasi luar bandar.
Dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), CBTR pada tahun ini bakal dilaksanakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC) bersempena Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) keenam.
Acara terbabit akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 27 November dengan jangkaan jumlah pengunjung tempatan dan antarabangsa sekitar 3,000 orang.
Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata jerayawara terbabit merupakan peluang bagi operator pelancongan dan operator produk pelancongan luar bandar untuk berkumpul serta membincangkan cara mempromosikan pakej pelancongan untuk pasaran baharu.
“Objektif kita bukan hanya untuk mendekati penduduk tempatan tetapi juga untuk mempamerkan tawaran pelancongan kawasan luar bandar kita kepada delegasi WTC dengan harapan dapat menggalakkan mereka melancong ke tempat ini semasa berada di Sabah…
“Matlamat kita adalah dimana CBTR pada kali ini akan menawarkan operator pelancongan luar bandar kita pendedahan yang sangat diperlukan dan juga tarikan tersembunyi kita ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Persidangan WTC kali keenam bakal dilaksanakan pada 28 sehingga 30 November di SICC dimana seramai 700 peserta antarabangsa dan tempatan dijangka akan menyertainya.
Persidangan terbabit dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan dan juga Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
CBTR bakal membabitkan 27 daerah dan 11 daerah kecil, pelbagai kementerian yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta persatuan berkaitan pelancongan.