PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan slogan “Selamatkan Sabah” yang dilaungkan Warisan sebagai retorik kosong memandangkan parti itu sendiri pernah gagal mempertahankan hak negeri ketika berkuasa.
Menurutnya, semua parti utama termasuk GRS, Warisan, BN dan PH pernah berada dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, maka rakyat perlu menilai rekod prestasi sebenar, bukan sekadar janji pilihan raya.
“Warisan menuduh BN gagal laksanakan MA63, tetapi ketika mereka berkuasa bersama PH pada 2018 hingga 2020, mereka sendiri tunduk kepada tawaran Persekutuan dengan hanya menerima kenaikan pemberian khas Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta. Ianya jumlah yang amat kecil berbanding hak 40 peratus hasil negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perlancaran jentera PRN17 DUN N.27 Limbahau, di sini, pada Ahad.
Armizan berkata keputusan itu dibuat secara rasmi oleh Kabinet Warisan pada Oktober 2019, menggambarkan kegagalan parti itu mempertahankan kepentingan Sabah.
Sebaliknya, selepas GRS mengambil alih pentadbiran pada 2020, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menarik balik persetujuan tersebut dan berjaya menaikkan kadar kepada RM125.6 juta pada 2022.
Melalui rundingan berterusan dengan Kerajaan Persekutuan, kadar itu meningkat kepada RM300 juta pada 2023, RM306 juta pada 2024 dan RM600 juta mulai 2025 tanpa menjejaskan tuntutan penuh 40 peratus hasil Sabah.
“Persoalannya, adakah Warisan benar-benar ‘menyelamatkan’ Sabah atau rakyat perlu menyelamatkan Sabah daripada Warisan?” tegasnya.






