Penamaan Calon: Lebih 2,000 Penyokong Hadir Sokong Razali@Bob Untuk DUN Darau

Penamaan Calon: Lebih 2,000 Penyokong Hadir Sokong Razali@Bob Untuk DUN Darau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 2,000 penyokong membanjiri pekarangan Dewan Maksak Likas pagi tadi bagi menunjukkan sokongan padu kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob, menjadikan suasana penamaan calon PRU Sabah ke-17 antara yang paling meriah dan penuh bertenaga.

Kehadiran besar itu menjadi isyarat awal bahawa jentera GRS di Darau berada dalam keadaan yang cukup bersedia dan tersusun.

Razali berkata, angka tersebut menggambarkan kesungguhan dan komitmen penyokong yang telah menanti sejak tiga tahun lalu.

Beliau menjelaskan bahawa strategi GRS tidak dibina secara tergesa-gesa, sebaliknya dirangka dan digerakkan dengan cermat sepanjang tiga tahun terakhir.

“Apa yang kamu nampak hari ini baru 10 peratus. Sokongan sebenar akan lebih besar apabila kita turun ke lapangan. Kita yakin GRS akan menang pada 29 haribulan ini,” katanya ketika ditemui media selepas selesai penamaan calon di sini, hari ini.

Mengulas mengenai proses penamaan calon, Razali memuji kelancaran pengurusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyatakan bahawa pertandingan enam penjuru tidak menjejaskan keyakinan beliau.

“Semua berjalan lancar, SPR buat kerja terbaik. Saingan enam penjuru tidak mengganggu gerak kerja kita kerana strategi sudah tersedia sejak lama,” tegasnya.

Dalam sidang media sama, Razali turut menyentuh isu ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang bertanding sebagai calon bebas atau mewakili parti lain.

Sebagai Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, beliau menegaskan bahawa mana-mana ahli yang berbuat demikian akan digugurkan keahlian serta-merta.

Katanya, antara nama yang dikenal pasti melalui sumber media sosial ialah Datuk Roland Chia (Inanam), Datuk Fairuz Renddan (Pintasan) dan Datuk Maijol Mahap (Bandau).

“Ini proses demokrasi. Mereka bertanding di kawasan yang bukan kita tandingi. Tindakan parti jelas, selaras pendirian PH,” katanya.

Razali turut menekankan bahawa sokongan ribuan penyokong hari ini terbina hasil kerja berpasukan GRS yang kukuh.

Menurutnya, kepercayaan yang diberi kepadanya adalah refleksi kesatuan jentera di seluruh Darau.

“Semua satu hati, satu pasukan. Itulah asas kekuatan kami,” ujarnya.

Beliau turut memperincikan agenda pembangunan Darau yang akan dibawanya jika diberi mandat.

Antara fokus utama ialah penubuhan Majlis Pembangunan dan Pengurusan Kampung dan Taman bagi memperkemas sistem komunikasi, meningkatkan ketelusan dan memastikan pelaksanaan dasar dipantau secara sistematik melalui KPI.

Selain itu, beliau menekankan keperluan menyediakan pusat belia di setiap kampung serta memperbanyak kursus keusahawanan bagi memperkukuh ekonomi anak muda.

Dengan sokongan luar biasa lebih 2,000 penyokong hari ini, Razali menyifatkannya sebagai permulaan kepada gelombang kemenangan GRS di Darau.

“Ini tanda bahawa rakyat sudah bersedia. Kita teruskan perjalanan menuju kemenangan,” katanya.