KUALA LUMPUR: Dunia muzik tempatan kembali diwarnai dengan kehadiran single duet terbaru berjudul “Redam”, hasil kolaborasi unik antara penyanyi bersuara lunak dari Sabah, Jaclyn Chia bersama rapper tempatan, Yunk G.
Single “Redam” tampil sebagai sebuah balada introspektif berentak akustik yang disulam elemen rap, membawa pendengar menyelami perjalanan emosi tentang luka, kehilangan dan trauma, namun tetap sarat dengan harapan untuk bangkit semula.
“Lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia seperti menulis surat kepada diri sendiri yang sedang terluka, tetapi masih cuba untuk terus hidup,” kata Jaclyn Chia yang sebelum ini pernah menjuarai RTM Kemuncak Bintang Ai FM 2024 dan popular dengan single “Joget Mengikut Rasa” ciptaan Shaifulhan serta lirik S. Amin Shahab di bawah label Luncai Emas.
Komposer lagu ini, Shaifulhan Saidin, menyifatkan gabungan suara indah Jaclyn dan rap bertenaga Yunk G berjaya menghasilkan harmoni unik yang mampu “meredam” jiwa pendengar.
Lagu ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kreatif MyCreative Ventures dan diterbitkan oleh Zirbad Music Production, dengan Luncai Emas sebagai pengedar digital rasmi.
“Suara indah Jaclyn Chia disatukan dengan rap padu Yunk G, membentuk lagu yang menyentuh jiwa dan meredam luka,” jelas Shaifulhan yang juga komposer eksklusif di bawah Luncai Emas.
Bagi Yunk G atau nama sebenarnya AG Sri Iskandar Bahrin, lagu ini adalah wadah untuk menzahirkan realiti yang sering disembunyikan.
“Saya percaya muzik harus bercakap jujur. Dalam ‘Redam’, saya mahu bawa perspektif mereka yang sering menyembunyikan luka kerana takut dilihat lemah,” ujarnya.
Video muzik rasmi “Redam” yang kini ditayangkan di saluran YouTube Luncai Emas menampilkan visual puitis dan penuh simbolik, menggambarkan perjalanan seorang individu yang berusaha melepaskan diri daripada bayang-bayang silam.
Single ini kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube, menandakan langkah penting dalam kerjaya seni Jaclyn Chia dan Yunk G untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam industri muzik tanah air.






