KOTA MARUDU: Perselisihan faham dengan adik-beradiknya dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mengurung diri di dalam sebuah bilik bersama sebilah pisau dalam kejadian di sini, pagi Isnin.
Remaja berkenaan berjaya dipujuk keluar oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas kira-kira 37 minit usaha memujuk dan menenangkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PKPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.18 pagi yang memaklumkan terdapat seorang individu terkunci di dalam bilik bersama sebilah pisau.
Menurutnya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.25 pagi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati benar terdapat seorang mangsa perempuan berusia 16 tahun terkunci di dalam sebuah bilik dan dipercayai membawa sebilah pisau.
“Pasukan bomba bertindak memujuk mangsa bagi menenangkan keadaan. Mangsa kemudiannya cuba keluar melalui tingkap di bahagian belakang bilik,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian naik ke bahagian bumbung berhampiran tingkap berkenaan bagi meneruskan usaha memujuk mangsa serta memastikan keselamatannya.
Mangsa berjaya dipujuk kira-kira jam 10.55 pagi sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya dalam keadaan baik dan selamat pada jam 11.05 pagi.
Menurut maklumat ahli keluarga, tindakan mangsa dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan adik-beradiknya.
Operasi yang turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan selepas mangsa diserahkan kepada keluarganya.






