Suhaimi Semakin Kurang Bijak Sejak Bersahabat Dengan Shafie – Zulkarnain

Suhaimi Semakin Kurang Bijak Sejak Bersahabat Dengan Shafie – Zulkarnain

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (Sumber Foto: Ihsan G57)

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir dlihat semakin kurang bijak menterjemah isu membabitkan pentadbiran negeri Sabah sejak bersahabat baik dengan Parti Warisan khususnya Presidennya, Datuk Seri Shafie Adpal.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan dibuat Suhaimi pada Rabu yang mempersoalkan kejayaan program Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Suhaimi telah meminta kerajaan Sabah menjelaskan kepada rakyat berhubung Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 2021 yang beliau sifatkan sebagai “gagal” berikutan isu kemudahan asas dan kemiskinan masih berlarutan.

“Salah satu pengisian program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebenarnya telah berjaya menunjukkan hasil yang cukup positif apabila Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya menarik begitu banyak pelabur luar untuk melabur ke Sabah.

“Data secara jelas menunjukkan bilangan kadar pengangguran di Sabah sedikit menurun,” tegas Zulkarnain.

Beliau memberikan contoh bahawa apabila Kerajaan Negeri Sabah berjaya membawa masuk Syarikat SK Nexilis Co Ltd (SK Nexilis), salah satu pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia, telah membina kilang operasi pengeluaran kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang bernilai RM2.3 billion.

“Kilang yang telah memulakan operasi di Sabah ini sebenarnya telah membuka peluang ratusan anak-anak Sabah bekerja.

“Selain itu,kilang pembuatan kaca fotovolta solar (PV) yang dikendalikan oleh SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernlai RM3 billion yang sedang dibina di KKIP juga bakal mewujudkan 1,400 pekerjaan baharu, dengan komitmen sekurang-kurangnya 90 peratus jawatan untuk diisi oleh rakyat Sabah.

“Suhaimi juga dilihat seumpama meludah ke langit apabila mempersoalkan keadaan jalan di Sabah termasuk elektrik dan air sedangkan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebelum ini dipegang oleh Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya.

Zulkarnain mengingatkan individu yang diberikan tanggungjawab oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menyelesaikan masalah jalan, air dan elektrik di Sabah adalah Bung sebelum diliucutkan jawatan menteri pada Januari 2023.

“Bung Moktar sepatutnya tidak berdiam diri membabitkan isu ini kerana punca kegagalan masalah jalan, air dan elektrik ada mengena dengan kementerian yang diterajui oleh Bung selama hampir dua tahun.

“Suhaimi juga sepatutnya bersikap adil dan turut bertanya kepada Shafie kenapa sepanjang mentadbir Sabah selama 26 bulan kadar KDNK negeri Sabah jatuh menjunam kepada 0.5 peratus, kadar pengangguran meningkat, rezab kewangan negeri berkurangan, kegagalan membawa masuk pelabur luar ke Sabah dan pelabur luar gagal membeli kilang SFI sehingga menyebabkan ratusan pekerja telah hilang pekerjaan,” katanya.