
KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki telah dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM15,000 setelah didapati bersalah menghina agama Islam di laman Facebooknya.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Ricky Shane Cagampang, 33, selepas mengaku bersalah di Makhamah Sesyen Kota Kinabalu semalam.
Sekiranya gagal membayar denda, Ricky akan dihukum dengan tambahan 4 bulan penjara.
Suspek telah dituduh di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes pada 12.05 tengah hari Ahad lalu (17 Mac).
“Susulan komen tersebut di menyebabkan orang awam yang beragama Islam tidak berpuashati dengan tindakan suspek yang merupakan provokasi serta menghina agama islam dan telah mendapat reaksi komen negatif daripada pelbagai individu.
“Suspek telah berjaya dikenalpasti dan telah hadir memberi keterangan pada hari yang sama.
“Kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan/233 AKM 1998,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.
Hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.