Jenayah di Kota Kinabalu Menurun, Polis Tingkat Operasi Musim Perayaan

Jenayah di Kota Kinabalu Menurun, Polis Tingkat Operasi Musim Perayaan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kadar jenayah di Kota Kinabalu mencatat penurunan lima peratus tahun ini dengan jumlah kes berkurang daripada 1,156 kepada 1,099, kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda.

Beliau berkata penurunan paling ketara melibatkan kes pecah rumah, khususnya di Luyang yang merekodkan pengurangan sebanyak 56 kes. 

Namun, faktor kecuaian masih dikenal pasti sebagai punca utama kes pecah rumah, kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya.

Menurut Kasim, polis melaksanakan beberapa operasi sempena sambutan Krismas dan cuti sekolah bermula 20 Disember hingga awal Januari, dengan fokus kepada keselamatan rumah yang ditinggalkan, keselamatan perjalanan dan pengguna jalan raya. 

Operasi pencegahan jenayah dijalankan dari 23 Disember hingga hujung tahun, manakala operasi trafik bersepadu akan dilaksanakan pada 30 dan 31 Disember serta 1 Januari.

Lebih 200 anggota polis daripada pelbagai jabatan akan dikerahkan, meliputi kawasan tumpuan seperti pusat bandar Kota Kinabalu, Inanam, Telipok dan Luyang.

Dalam perkembangan lain, kes kecurian lain seperti telefon bimbit dan barangan di pusat beli-belah menunjukkan peningkatan kecil, manakala kes pecah rumah dan jenayah jalanan terus menurun.

Bagi keselamatan jalan raya, jumlah kemalangan maut meningkat sedikit kepada 146 kes, dengan Jalan Sepanggar dikenal pasti sebagai kawasan panas, kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal akibat kecuaian.

Menurutnya, seramai 12 penunggang motosikal telah meninggal dunia di jalan tersebut tahun ini.

Kasim menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada, mematuhi undang-undang jalan raya dan memastikan kediaman dikunci dengan baik.

“Pemilik rumah yang bercuti digalakkan memaklumkan polis atau menyertai Program Balik Kampung menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu rondaan keselamatan.” katanya.