KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) dijangka akan bertanding sehingga 40 kerusi pada Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17) berbanding 36 kerusi yang diumumkan sebelum ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, seperti dipetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi serta senarai nama calon daripada komponen PN merangkumi PAS, BERSATU dan Gerakan akan diumumkan secara rasmi pada 11 November ini selepas dimuktamadkan.
“Kita masih dalam proses akhir memuktamadkan kerusi sebelum pelancaran jentera dan pengisytiharan calon akan dibuat pada 11 November.
“Semua nama calon akan diteliti terlebih dahulu sebelum disahkan, termasuk melalui Majlis Syura bagi PAS,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera PN bagi DUN Karambunai di Taman Sepanggar, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Tan Sri Annuar Musa serta Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang turut dijangka bertanding mewakili PN di kerusi Dewan Undangan Karambunai.
Tuan Ibrahim turut menegaskan fokus utama PN ketika ini adalah bekerjasama secara penuh dalam kalangan parti komponennya bagi memastikan kemenangan pada PRU17, sambil menegaskan kerjasama dengan parti luar akan hanya diperhalusi selepas keputusan pilihan raya kelak.
Mengulas mengenai sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang dibawa parti tempatan di negeri ini, beliau berkata ia tidak mengancam sokongan pengundi Sabah terhadap PN kerana Sabah sejak dahulu sinonim dengan kehadiran parti nasional seperti BN dan kini PN.
“Sentimen itu bersifat lokaliti sama seperti Bangsa Johor di Johor atau Gagasan Terengganu Kita di Terengganu.
“Sabah sejak dulu bersifat terbuka dan dinamik. Kepimpinan PN Sabah sendiri majoritinya adalah anak Sabah,” katanya.
Pada masa sama, kemelut dalaman yang berlaku dalam kepimpinan BERSATU di Semenanjung jelas beliau, tidak menjejaskan kesiapsiagaan jentera PN Sabah menjelang PRU17 kerana isu tersebut tidak melibatkan operasi gabungan itu di Sabah.






