Penduduk Teluk Soaiun Lega Selepas Derita Di Bawah Warisan, Jalan Akhirnya Siap...

Penduduk Teluk Soaiun Lega Selepas Derita Di Bawah Warisan, Jalan Akhirnya Siap Di Bawah GRS

0
SHARE

LAHAD DATU: Penduduk Kampung Teluk Soaiun di DUN Silam akhirnya menarik nafas lega selepas sekian lama menanggung kesusahan akibat jalan kampung yang rosak teruk dan tidak pernah dibaiki dengan sempurna ketika di bawah pentadbiran kerajaan Warisan.

Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Salleh Nasip, 60, yang telah menetap di kampung itu sejak tahun 1984, berkata kehidupan penduduk sebelum ini amat sukar akibat kemudahan asas yang tidak terurus.

“Dulu waktu Warisan, jalan ni berlubang-lubang. Kalau hujan, banjir, rosak balik. Kami sudah banyak kali mengadu, tapi tidak ada tindakan,” katanya ketika ditemui Sabah News.

Salleh Nasip

Menurutnya, Warisan pernah membina sedikit jalan di kawasan itu, namun jaraknya sangat pendek dan tidak memberi manfaat kepada kebanyakan penduduk.

“Waktu Warisan dulu, dia ada buat pun lebih kurang 30 meter saja di bahagian atas jalan utama. Tidak sampai ke bawah bukit, tidak sampai ke rumah-rumah orang. Lepas tu sudah, tidak ada lagi,” jelasnya.

Lokasi di mana jalan bersimen hanya 30 meter sahaja dari jalan utama ketika zaman Warisan mentadbir kerajaan.

Beliau menambah, sepanjang tempoh pentadbiran Warisan, penduduk hanya diberi janji tetapi tiada tindakan selepas pilihan raya.

“Bila kami adu masalah jalan, lampu, air…cuma janji saja. Lepas menang, orang tak turun padang lagi. Kami orang kampung pun sudah bosan dengan janji. Paling-paling pun yang mereka buat cuma pondok kecil di tepi jalan, itu saja. Jalan, air, lampu, semua tak jalan,” katanya.

Keadaan sekitar di salah satu lorong yang dilengkapi lampu solar.
Lampur solar

UMNO pun sama, satu pun tidak ada

Salleh turut mendedahkan bahawa keadaan sama berlaku ketika zaman UMNO memerintah dahulu.

“Waktu UMNO dulu, satu pun tidak ada dia buat di kampung ini. Tidak ada jalan, tidak ada lampu, tidak ada bantuan besar. Jadi kami ni orang kampung, terpaksa sabar saja,” ujarnya.

Perubahan Ketara Di Zaman GRS

Namun segalanya berubah selepas GRS mengambil alih pentadbiran negeri melalui Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah, yang disifatkan oleh penduduk sebagai pemimpin yang rajin turun padang dan menunaikan janji.

“Mizma bukan macam pemimpin yang dulu-dulu. Dia turun sendiri ke kampung, tanya apa masalah kami — jalan, lampu, air, rumah SMJ semua dia ambil tahu,” katanya.

Salleh menjelaskan, hasil usaha berterusan itu, jalan utama di Kampung Teluk Soaiun kini telah siap sepenuhnya, bukan lagi 30 meter seperti sebelumnya.

Keadaan jalan bersimen yang siap sepenuhnya di sepanjang laluan kampung.

“Jalan ini baru siap dua bulan lepas. Siap dari atas sampai ke bawah kampung. Dulu dia sudah lama mohon, bukan janji baru. Sekarang baru nampak hasilnya,” katanya.

Selain pembinaan jalan, katanya, Mizma juga memberi bantuan lampu solar untuk jalan dan tangki air kepada penduduk sejak tiga tahun lalu.

“Dulu air pun susah. Tapi sekarang ada tangki besar yang dibekalkan untuk kampung. Banyak perubahan sudah, jauh dari dulu,” tambahnya.

Peranan Ketua JKK Menyelesaikan Masalah Penduduk

Seorang penduduk, Halim Jan menerima bantuan segera tangki air yang diusahakan Salleh Nasip.

Sebagai Ketua JKK yang baru dilantik pada Januari lalu, Salleh berkata beliau berperanan menghubungkan penduduk dengan pemimpin setempat bagi memastikan setiap masalah mendapat perhatian segera.

“Contohnya baru-baru ni ada penduduk rosak tangki air. Saya lapor terus, dan mereka datang ganti. Sekarang lebih senang sebab ada kerjasama dengan pemimpin setempat,” ujarnya.

Warisan cuma pandai janji, GRS terus buat

Salleh tidak menafikan ramai penduduk sudah hilang kepercayaan kepada Warisan kerana janji-janji mereka yang tidak pernah ditepati.

“Banyak janji bah. Bila sudah menang, semua hilang. Tapi Mizma ni lain, dia tidak janji, tapi terus buat. Itu beza dia.

“Sekarang kampung sudah maju — jalan sudah cantik, lampu ada, air pun cukup. Kami bersyukur sebab akhirnya ada pemimpin yang betul-betul kerja, bukan sekadar cakap,” katanya.

Harapan Untuk Pilihan Raya Akan Datang

Salleh menzahirkan harapan agar rakyat memilih pemimpin yang benar-benar bekerja dan turun padang, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Saya harap rakyat pilih pemimpin yang rajin turun padang macam Mizma. Kami orang kampung tidak minta banyak, cukup kalau jalan, air, dan lampu dijaga baik,” katanya.

DUN Silam mempunyai kira-kira 29,000 pengundi berdaftar terkini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).