KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sabah International Convention Center (SICC) mengadakan program vaksinasi secara ‘walk-in’ (tanpa temu janji) kepada semua penduduk Sabah termasuk bukan warganegara.
Peluang ini dibuka untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas tanpa mempunyai temu janji vaksinasi MySejahtera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang lain dan bukan merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19.
UMS telah memulakan program tersebut pada 30 Ogos (Isnin) dan akan tamat pada 3 September (Jumaat).
PPV berkenaan akan dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 4.30 petang.
Manakala, SICC membuka pintunya khas bagi penduduk secara ‘walk-in’ kelmarin dan hari terakhir merebut peluang ini adalah esok (2 September 2021).
Sesi vaksinasi bermula sama dengan waktu UMS iaitu dari 8 pagi sehingga 4.30 petang.
Usaha ini adalah untuk membantu mempercepatkan negeri Sabah mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dan juga sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) di mana vaksin ditempah khas dan diberikan kepada penduduk secara PERCUMA.
Sekarang dengan bekalan vaksin COVID-19 yang mencukupi di Sabah dan kerajaan yang prihatin terhadap kesihatan rakyatnya, tiba masa individu yang belum mendapatkan vaksin membalas usaha itu dengan membantu diri mereka sendiri yang mana secara langsung memberi kesan kepada kesihatan seluruh penduduk negeri ini.