JOHOR BAHRU – Dua anggota polis maut termasuk suspek selepas seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram , Johor Baharu awal pagi tadi (Jumaat).
Turut cedera parah seorang lagi anggota Polis.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dalam satu kenyatan berkata, dalam kejadian itu suspek turut ditembak mati di tempat kejadian.
Menurutnya, anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.
“Pihak kita sesal dengan kejadian yang berlaku. Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak,” jelas beliau.
Sebelum itu, seorang anggota polis yang bertugas di pusat kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bersama seorang rakan setugas telah menerima panggilan kecemasan MERS999 jam 2.54 pagi.
Panggilan daripada seorang lelaki warga tempatan menyatakan anggota polis dipukul di Balai Polis Ulu Tiram.
Ekoran panggilan tersebut, sebuah MPV JH896 telah diarahkan ke lokasi kejadian.
Difahamkan seorang konstabel dipercayai telah meninggal dunia kerana ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.
Selain itu, seorang lagi anggota polis berpangkat konstabel dipercayai maut kerana ditembak di bahagian perut dan lengan.
Sementara itu, seorang koperal juga ditembak suspek dan kini berada di zon merah di sebuah hospital.
Suspek dipercayai telah ditembak mati dan dua senjata iaitu sepucuk pistol jenis Walther P99 dan selaras HK MP5 telah dirampas daripada pihak penyerang.






