KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot bersama tiga individu atas pelbagai kesalahan di perairan Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, sekitar pukul 12.27 pagi, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat telah menerima satu maklumat pengesanan curiga daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah berkenaan sebuah bot tidak dikenal pasti berada di posisi lebih kurang 12.3 batu nautika barat laut Tanjung Pulun Batu, Balambangan, Kudat.
“Bot ronda Zon Maritim Kudat yang pada ketika itu sedang melaksanakan rutin rondaan segera diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemantauan.
“Pada kira-kira pukul 1.50 pagi, sebuah bot telah berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di posisi 2.8 batu nautika barat laut Tanjung Tiga Papan dan seterusnya ditahan untuk diperiksa,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Maurice berkata, melalui pemeriksaan yang dilakukan, tiga individu didapati berada di dalam bot berkenaan merupakan seorang warga tempatan manakala dua orang lagi warga Filipina berumur lingkungan 46 hingga 54 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Pemeriksaan lanjut juga telah menemui empat ekor kambing dan juga empat ekor lembu hidup di dalam bot berkenaan yang dibawa tanpa permit sah daripada pihak berkuasa dipercayai dibawa untuk tujuan pasaran,” tambahnya.
Suspek bersama bot dan barang rampasan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
Tambah Maurice, keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM35,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan 2015 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak memiliki Lesen Bot.