PAPAR, SABAH – Seorang remaja lelaki dikejarkan ke hospital setelah hampir lemas ketika beriadah di Pusat Rekreasi TMEC, Ulu Kimanis pada Ahad.
Balai Bomba dan Penyelamat Papar menerima panggilan kecemasan berkenaan pada jam 11.38 pagi.
“Menurut pemanggil, mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan bomba,” kata seorang jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Katanya, bantuan kecemasan CPR telah dilakukan oleh orang awam di lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 12.02 tengah hari, proses CPR disambung oleh Pasukan Bomba dan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Mangsa seterusnya telah dikejarkan ke hospital menaiki ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi dijalankan sepasukan tujuh diketuai PBK I Anwar Bahrin yang berkata mangsa berusia 18 tahun itu pada mulanya tidak sedarkan diri namun memberi respon positif kepada CPR.