Dua Lelaki Warga Asing Ditahan, Miliki Syabu Lebih 13 Gram di Tawau

Dua Lelaki Warga Asing Ditahan, Miliki Syabu Lebih 13 Gram di Tawau

0
SHARE

TAWAU:Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di kawasan rumah kongsi Kampung Beruang Bombalai, Tawau, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau selang beberapa minit antara satu sama lain bermula kira-kira jam 1.00 petang.

“Dalam serbuan pertama, suspek berusia 40-an ditahan bersama satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.60 gram dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM400,” katanya.

Manakala dalam serbuan kedua, kira-kira lima minit kemudian, seorang lagi suspek berusia lingkungan 40-an juga turut ditahan di lokasi yang sama dan turut dirampas sejumlah 5.76 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM350.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga menunjukkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” tambah beliau.

Jelas ACP Jasmin, kedua-dua lelaki berkenaan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Risikan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal dan rangkaian pengedar yang terlibat di sekitar kawasan ini,” katanya.

ACP Jasmin turut menegaskan bahawa pihak polis tidak memandang ringan sebarang kes berkaitan dadah, walaupun kuantitinya kecil.

“Pihak polis ingin menegaskan bahawa tiada istilah kes kecil apabila melibatkan dadah. Setiap tangkapan adalah langkah penting dalam memutuskan rantaian pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini,” tegas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat untuk tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti pengedaran atau penagihan dadah di kawasan mereka.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis menangani jenayah ini secara menyeluruh. Salurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui talian Hotline 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.