Tangkap Ikan Guna Bom, Dua Nelayan Didenda RM10,000

Tangkap Ikan Guna Bom, Dua Nelayan Didenda RM10,000

0
SHARE

TAWAU: Dua nelayan didenda sebanyak RM10,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu, selepas mengaku bersalah memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan (bom ikan).

Tertuduh Alai Sairali, 41, dan Zulhamjah Atibasa, 50, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh pada jam 12.30 tengah hari 19 September lalu, bertempat di dalam sebuah bot pam berwarna biru tanpa nombor pendaftaran di kawasan perairan laut Bulipatuid, Semporna, didapati memiliki ikan sebanyak 10 ekor yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(c) iaitu memiliki ikan yang ditangkap dengan menggunakan bahan letupan (bom ikan).

Mereka boleh dihukum di bawah seksyen kesalahan yang sama dalam Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahmamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 di mana masing-masing dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama 10 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Laester Bulun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.