PM Respons Positif Cadangan Tambah Anggota Keselamatan di Perairan Kudat – Ketua...

PM Respons Positif Cadangan Tambah Anggota Keselamatan di Perairan Kudat – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi respons positif terhadap cadangan penambahan anggota keselamatan di perairan Kudat susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah dibincangkan sendiri dengan Perdana Menteri bagi memperkukuh kawalan keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di Kudat yang merangkumi perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan.

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respon yang baik.

“Keselamatan merupakan asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut menyambut baik penekanan terhadap pengukuhan kawalan sempadan di bawah Belanjawan 2027, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

Menurutnya, perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.

Katanya, agensi terbabit perlu menyelaraskan perkongsian maklumat mengenai kualiti udara dan amaran cuaca bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan.

Hajiji turut mengingatkan agensi keselamatan supaya berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau, termasuk memantau penularan maklumat serta sentimen di media sosial yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah.