DUN Sabah Lulus Naikkan Saraan Ketua Menteri, ADUN Dan Anggota Pentadbiran Negeri

DUN Sabah Lulus Naikkan Saraan Ketua Menteri, ADUN Dan Anggota Pentadbiran Negeri

0
SHARE
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Usul berkenaan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.

Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 yang dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.

Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); Menteri RM16,335 (RM22,869); Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).

Dalam sesi perbahasan usul itu, Datuk Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin) berkata kenaikan saraan itu perlu selaras dengan kenaikan pendapatan Sabah, justeru syarikat berkaitan kerajaan negeri perlu berdaya saing untuk membawa lebih banyak pendapatan selain menarik lebih ramai pelabur.

“Kita sebagai wakil rakyat ini bagai sebuah ATM (mesin juruwang automatik) untuk rakyat dapatkan bantuan, saya sendiri macam-macam daripada bapa tinggal jauh lawat anak di hospital pun minta bantuan wang, jadi kenaikan ini sebenarnya kita salurkan balik kepada rakyat,” katanya.

Assaffal P Alian (Warisan-Tungku) pula mahu penerangan jelas diberikan tentang kenaikan itu bagi memastikan langkah peningkatan saraan itu tidak dipandang negatif terutama rakyat yang pada masa ini terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri ketika menggulung usul itu berkata implikasi kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan saraan itu dilihat tidak terlalu berat dan hanya melibatkan jumlah RM5.6 juta setahun.

Katanya, kenaikan itu telah dikaji dengan teliti jawatankuasa diketuai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dan kenaikan itu diharap mampu meringankan beban yang ditanggung wakil rakyat serta anggota pentadbiran kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat.

“Kita faham rakyat akan bercakap kenapa (naikkan saraan) dalam keadaan sekarang masanya tetapi asas utama ialah untuk wakil rakyat dan anggota kerajaan beri khidmat lebih baik untuk rakyat, kerajaan punya dasar baik supaya taraf hidup rakyat ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, persidangan DUN Sabah kelmarin (19 Julai) turut meluluskan usul Rang Undang-Undang Peruntukan Diraja (Pindaan) 2022 yang menaikkan Saraan Peribadi, Elaun Keraian dan Elaun Wilayah untuk Yang Dipertua Negeri Sabah.

Usul yang dibawa Hajiji itu juga diluluskan dengan suara terbanyak, dan menaikkan Saraan Peribadi daripada RM215,280 setahun kepada RM301,392; Elaun Keraian RM152,490 (RM213,486); dan Elaun Wilayah RM44,850 (RM62,790).

Persidangan Dewan bersambung hari ini (20 Julai).