‘Gelombang Baharu’ Warisan Hanyalah Gelombang Kekecewaan – Nizam

‘Gelombang Baharu’ Warisan Hanyalah Gelombang Kekecewaan – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan kemasukan beberapa bekas pemimpin parti ke dalam Warisan sebagai “gelombang kekecewaan” dan bukan suatu kebangkitan baharu seperti yang didakwa.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tindakan bekas Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Harun Ismail bersama Amri Abu Bakar (Ketua Penerangan Pantai Manis) serta Datuk Peter Chin Kee Yong (Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor) menyertai Warisan hanyalah refleksi rasa tidak puas hati individu yang gagal memenuhi tuntutan peribadi mereka.

Menurut beliau, terdapat antara pihak terbabit yang pernah meminta secara langsung agar dijadikan calon, dan mengugut bakal keluar parti jika permintaan tersebut tidak dipenuhi.

“Rakyat Sabah sudah tahu siapa mereka. Mereka senyap ketika bersama GRS, menumpang hasil kerja orang lain dan hanya bersuara apabila tidak lagi diberi jawatan. 

“Mereka bukan menyertai Warisan atas perjuangan, tetapi kerana haus kuasa dan kedudukan,” katanya.

Nizam menegaskan, kepimpinan GRS di bawah Datuk Seri Hajiji Noor tidak akan tunduk kepada politik ugutan, kepentingan sempit serta perebutan habuan, dan akan terus berpegang kepada perjuangan sebenar memperkukuh masa depan Sabah.

“Kalau inilah yang dinamakan ‘gelombang baharu’ Warisan, ia hanyalah gelombang kecewa dan gelombang manusia yang hilang arah,” katanya.