KOTA MARUDU: Koperasi Pembangunan Desa (KPD) akan bekerjasama dengan Teknologi Pertanian Malaysia Barat (EMAT) bagi projek penanaman jagung bijiran secara komersial di Terusan Sapi, Telupid, di sini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Mafi), Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya telah mencadangkan kawasan seluas 300 hektar yang pernah diusahakan tahun 2024 lalu, diteruskan semula menerusi kerjasama tersebut.
Katanya, sebanyak RM2 juta di bawah peruntukan Kementeriannya untuk tujuan itu bagi memastikan projek berkenaan mencapai matlamat menerusi teknologi agro moden dari Afrika Selatan yang dimiliki EMAT.
Menurutnya, kepakaran dan teknologi Pertanian moden diamalkan EMAT telah terbukti menerusi projek sama dengan Koperasi Tanjung Keramat Berhad (KTKB) yang dilaksanakan di Kampung Masalog, di sini, sejak tiga tahun lalu.
“Kita bercadang buka sepenuhnya 300 hektar di Terusan Sapi menerusi kerjasama ini, manakala kawasan terlibat bukan membabitkan kawasan tanaman padi, sebaliknya tanah yang kurang memerlukan sistem pengairan dan lebih sesuai untuk jagung bijiran.
“Kita juga masih mempunyai baki peruntukan sekitar RM2 juta yang akan digunakan untuk membangunkan projek ini dan saya yakin usaha sama antara keduanya mampu mengurang kebergantungan kepada jagung ternakan import,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan rasmi di Ladang Penanaman Jagung Bijiran EMAT dan KTKB, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Jamawi berkata, secara prinsipnya KPD telah bersetuju susulan beberapa siri perbincangan berkaitan dengan EMAT dan beliau menjangkakan Memorandum Persefahaman (MoU) dapat dimeterai seawal Jun tahun ini.
Katanya, kerjasama strategik itu dijangka akan memberi manfaat langsung kepada KPD yang kini turut terlibat dalam industri penternakan ayam pedaging yang ketika ini telah mengeluarkan sehingga 200,000 ekor ayam sebulan.
“Secara prinsip, kita bersetuju KPD bekerjasama dengan EMAT kerana kita sudah lihat sendiri kejayaan mereka membangunkan kawasan seluas 50 hektar di Kota Marudu yang telah menghasilkan pengeluaran hasil jagung bijiran lebih besar.
“Selain teknologi agro moden, EMAT juga memiliki kelengkapan mesin untuk diaplikasikan menerusi projek di Terusan Sapi, sekaligus mengangkat potensi Sabah sebagai pengeluar utama makanan ternakan berasaskan jagung bijiran di masa depan.
“Pada masa sama, dapat membantu KPD mengurangkan kos makanan ternakan khususnya ayam pedaging dan seterusnya meningkatkan keuntungan KPD kerana pada tahun lalu saja, KPD telah merekodkan jualan sekitar RM106 juta.
Bercakap mengenai lawatannya di projek ladang penanaman jagung bijiran EMAT, Jamawi berkata, teknologi dibawa EMAT untuk musim pertama penanaman jagung bijiran di kawasan seluas 50 hektar di Kampung Masalog, di sini menunjukkan hasil tuaian memberangsangkan apabila berjaya meraih sehingga sembilan tan sehektar.
Menurutnya, projek sama itu kini memasuki musim kedua dan dijangka hasil tuaian akan datang bakal meningkat drastik serta diyakini dapat bantu tingkatkan produktiviti dan memacu ekonomi Sabah serta mengurangkan kebergantungan kepada import, termasuk memperkasakan petani tempatan.
“Potensi sebenar tanaman jagung bijirin boleh mencapai antara lapan hingga sembilan tan sehektar sekiranya amalan pertanian baik dilaksanakan sepenuhnya dan berdasarkan data Jabatan Pertanian, potensi hasil boleh mencecah sembilan tan sehektar jika pengurusan tanaman dilakukan dengan baik.
“Dengan harga pasaran semasa sekitar RM1,400 satu tan dan kos pengeluaran melalui mekanisasi sekitar RM800 satu tan, tanaman jagung ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara komersial,” katanya.
Jamawi berkata, Sabah masih bergantung kepada import jagung bijirin untuk makanan ternakan dengan nilai import mencecah kira-kira RM800 juta setahun dan tahap pengeluaran sendiri (SSL) bagi komoditi itu ketika ini hanya sekitar dua peratus.
“Sabah hanya mengeluarkan sekitar dua peratus daripada keperluan makanan ternakan ayam dan haiwan lainnya, justeru, kementerian telah menyediakan peruntukan insentif sebanyak RM5 juta tahun ini kepada pengusaha yang berminat mengusahakan tanaman jagung selain bantuan khidmat nasihat serta kepakaran daripada Jabatan Pertanian,” katanya.






