KOTA KINABALU: Wakil daerah Nabawan, Totu Dyeneley Daud, dinobatkan sebagai Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026 sekali gus mencipta kejayaan berganda apabila turut meraih anugerah subsidiari Mister Intelligent dan Best Stage Performance pada pertandingan akhir yang berlangsung sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Kemenangan itu meletakkan Nabawan sebagai antara daerah paling menyerlah dalam edisi RTK tahun ini menerusi persembahan mantap, karisma pentas serta keupayaan intelektual yang dipamerkan oleh Dyeneley sepanjang pertandingan berlangsung.
Tempat kedua dimenangi Totu Bryan Niccolson Jacob dari Keningau, manakala tempat ketiga menjadi milik Totu Daniel Chrionie Taning dari Tamparuli.
Turut melengkapkan senarai Top 7 RTK Negeri Sabah 2026 ialah Totu Hassander Jaid (Kiulu) di tempat keempat, Totu Kristern Olwen Jafili (Tuaran) di tempat kelima, Totu Ian Steeve Dee Moses (Likas) di tempat keenam dan Totu Hadwanielly Allan (Ranau) di tempat ketujuh.
Dyeneley yang kini sedang melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sabah bukan sahaja cemerlang dalam pertandingan RTK, malah mempunyai latar belakang seni persembahan yang membanggakan di peringkat negeri dan antarabangsa.
Beliau pernah mencipta kejayaan dalam World Dance Festival Seoul, Korea dengan meraih Gold Solo, Gold Duo dan Silver Grouping, selain turut menyerlah dalam Dance World Cup Malaysia Qualifier 2023 dan 2026 menerusi beberapa kemenangan termasuk Gold Solo, Gold Duo Kontem serta pengiktirafan Best Solo Award Senior Category yang melayakkan beliau mewakili Malaysia ke Dublin.
Selain itu, Dyeneley turut aktif dalam pelbagai pertandingan seni budaya termasuk Festival of Colour of the World 2023, Borneo Art Festival 2025, World Arts Performance 2023 serta pertandingan tarian kreatif Kaamatan daerah Keningau yang menyaksikan beliau muncul johan dan penari terbaik lelaki.
Beliau juga pernah terlibat sebagai koreografer dalam program KDCA ICSEP serta mencatat pencapaian dalam pertandingan Rentak, Pesta Tari dan Sabah Got Talent JKKN Sabah.
Dalam bidang akademik pula, Dyeneley pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Ikon Tari Terbaik 2025, Anugerah Terbaik Mata Pelajaran Tari serta Pelajar Harapan Tari Terbaik 2023 selain memperoleh keputusan cemerlang 4A dalam SPM bagi subjek tari.
Sementara itu, beberapa anugerah subsidiari lain turut diumumkan pada malam pertandingan berkenaan.
Anugerah Social Media Favourite dimenangi Totu Elvince Erick dari Kuala Penyu, manakala Mister Exemplary menjadi milik Totu Oliver Robert J Lojikim mewakili KDCA Sarawak.
Bagi kategori Most Inspirational Manifesto, kemenangan berpihak kepada Ag Thana Bin Ag Taaufick dari KDCA Johor.
Dalam kategori Audience Choice pula, tempat pertama diraih Totu Ryan Asriel Kario dari Tungku, diikuti Totu Clement Simeon Linus dari Sandakan di tempat kedua dan Totu Elvince Erick dari Kuala Penyu di tempat ketiga.
Pertandingan RTK merupakan antara acara utama sempena sambutan Pesta Kaamatan yang mengetengahkan warisan budaya, kepimpinan belia serta bakat seni generasi muda Kadazandusun Murut dan Rungus di Sabah.






