KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, pengiktirafan itu selaras dengan komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri sebelum ini termasuk menerusi platform rasmi di Dewan Rakyat pada 13 November 2025.
Menurutnya, komitmen tersebut sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan ketika ini untuk memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu berhubung hak 40 peratus Sabah.
“Ini sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat pada 13 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Komitmen ini menzahirkan pendirian Kerajaan Persekutuan hari ini untuk memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran-pentadbiran lalu yang bukan sahaja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah dijawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Armizan berkata demikian selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas berhubung status perkembangan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS serta wakil Ahli-Ahli Yang Berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63).
Beliau berkata, walaupun kes berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap berpendirian bahawa semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga.
“GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas dilaksanakan tahun ini dan diyakini Kerajaan Persekutuan akan bersetuju membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026,” katanya.
Menurut Armizan, Sabah menuntut hak dan tambahan hasil itu bagi memperluaskan ruang fiskal negeri demi kesejahteraan rakyat serta mempercepat pembangunan negeri.
Katanya, peningkatan kadar Special Grant daripada hanya RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah membolehkan pelbagai inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan negeri.
Antara inisiatif tersebut termasuk pelaksanaan Rumah Mesra SMJ yang merekodkan sebanyak 6,634 rumah siap dibina dan diduduki golongan miskin setakat 30 April 2026.
Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu turut menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah.
Armizan berkata, dengan jangkaan peningkatan kadar baharu Special Grant tahun ini, kerajaan negeri turut memberi fokus kepada usaha menaik taraf sistem perpaipan air bagi menangani isu non-revenue water (NRW) serta pembinaan jambatan khususnya di kawasan luar bandar.






