MANILA, FILIPINA – Bekas peninju profesional, Manny Pacquiao semalam berikrar akan memperkukuh usaha untuk mendapatkan semula berbilion dolar kekayaan yang hilang sejak kejatuhan pemerintahan Ferdinand Marcos, sebagai sebahagian daripada platform anti rasuahnya jika beliau dipilih sebagai Presiden Filipina yang baharu.
Kenyataan Pacquiao itu adalah tamparan kepada saingan dan pilihan awal, Ferdinand Marcos Jr, yang keluarganya dituduh ‘merompak’ kira-kira AS$10 bilion (RM41.79 bilion) ketika pemerintahan mewah mendiang bapanya selama dua dekad, membelanjakan wang untuk barang kemas, hartanah dan banyak karya seni termasuk Pablo Picasso serta Claude Monet.
Pacquiao yang dipetik kenyataan BH berkata, Suruhanjaya Presiden Mengenai Kerajaan yang Baik (PCGG), yang memperoleh semula AS$3.41 bilion (RM14.25 bilion) kekayaan daripada Marcos dan sekutu mereka dalam tempoh 33 tahun, akan diberi kuasa untuk memulihkan lebih banyak lagi kekayaan jika beliau memenangi pilihan raya pada 9 Mei kelak.
“Kita akan memperkukuh PCGG dan wang milik kerajaan harus diberikan kepada kerajaan,” kata Pacquiao pada forum calon presiden, di mana Marcos yang lebih dikenali sebagai ‘Bongbong’, tidak hadir atas alasan konflik jadual.
“Sebab kenapa negara kita miskin adalah kerana pencuri dalam kerajaan dan itulah sebabnya kita perlu menghapuskan rasuah,” kata Pacquiao yang juga seorang senator dan bekas juara lapan divisyen.
Pasukan kempen Marcos tidak segera memberi komen kepada kenyataan itu ketika diminta.
Dalam temu bual radio pada 25 Januari lalu, Marcos mengakui keputusan mahkamah terhadap keluarganya berhubung aset dan akan menghormati undang-undang serta keputusan itu.
Seperti Pacquiao, calon presiden lain iaitu Naib Presiden, Leni Robredo; Datuk Bandar Manila, Francisco Domagaso; Senator Panfilo Lacson dan pemimpin pekerja, Leody de Guzman, semuanya berjanji untuk menghapuskan rasuah dalam kerajaan dan melindungi wang awam.
Walaupun digulingkan dalam pemberontakan 1986 dan dihalau ke dalam buangan, keluarga Marcos kekal sebagai kuasa yang kuat di Filipina, dengan penyokong setia dalam kalangan elit birokrasi, politik dan perniagaan.
Keluarga itu kembali ke Filipina pada 1990-an dan ahli keluarga Marcos sejak itu memegang jawatan politik, termasuk sebagai gabenor, ahli kongres dan senator.