KOTA KINABALU: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar sebagai satu pengkhianatan yang didorong oleh nafsu kuasa.
Beliau berkata, langkah tersebut jelas bercanggah dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang sebelum ini menegaskan parti itu sanggup kehilangan kuasa demi mempertahankan prinsip.
“Bagi saya tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar oleh Barisan Nasional Negeri Sembilan adalah langkah pengkhianatan akibat kemaruk kuasa.
“Ini boleh dilihat apabila mereka menerima pelawaan Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Razeef menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan prinsip yang dilaungkan, malah walaupun UMNO telah diberi peluang selepas ditolak rakyat.
Beliau berpendapat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun wajar berundur secara terhormat berikutan ketiadaan pendirian tegas dalam kepimpinan parti.
“Harus diingat beliau bukannya ditolak oleh rakyat tetapi dikhianati kelompok pengkhianat yang gilakan kuasa,” katanya.






