KOTA KINABALU: Jabatan Air Sabah kini giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera serta menaik taraf rangkaian paip usang bagi menangani isu kebocoran paip yang kerap berlaku di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Limus Jury berkata, langkah itu dilaksanakan secara menyeluruh bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem agihan air serta mengurangkan aduan gangguan bekalan kepada pengguna.
Menurut beliau, bekalan air terawat ke kawasan Likas disalurkan dari Loji Rawatan Air Kasigui dan Moyog, namun rangkaian paip sedia ada yang diperbuat daripada jenis Asbestos Cement (AC) telah usang dan dikenal pasti sebagai punca utama kebocoran.
“Selain itu, sistem penyaluran secara pengepaman terus turut memberi tekanan tambahan kepada paip sedia ada, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan paip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Tham Yun Fook (Likas – Warisan) yang bertanya mengenai kawasan Likas yang kerap mengalami kebocoran paip air bawah tanah yang sudah usang dan apakah kementerian mempunyai perancangan untuk menggantikan semua saluran paip lama tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, antara kawasan yang kerap terjejas termasuk Jalan Keramat dan Jalan Tuaran Bypass.
Sehubungan itu, beberapa inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Air Sabah bagi menangani isu berkenaan.
Antaranya termasuk pelaksanaan Kontrak Penyelenggaraan Paip Kota Kinabalu selama tiga tahun bagi membolehkan kerja pembaikan segera dilakukan ke atas paip bocor dan rosak, sekali gus mengurangkan aduan gangguan bekalan air.
“Selain itu, program menaik taraf dan penggantian paip jenis Asbestos Cement pelbagai saiz di daerah Kota Kinabalu kini sedang dilaksanakan dengan kemajuan fizikal 7.03 peratus. Projek bernilai RM28 juta itu dijadual siap pada 4 Februari 2027,” jelasnya.
Dalam masa sama, projek berskala besar melibatkan penggantian paip usang serta menaik taraf paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan turut diluluskan dengan kos RM200 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) melalui pembiayaan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
“Projek ini dijangka bermula pada suku keempat 2027 dan akan memberi tumpuan kepada penggantian paip kritikal termasuk di kawasan Likas,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut dijangka mampu mengurangkan kekerapan gangguan bekalan air dalam jangka masa sederhana dan panjang, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.






