TAWAU: Seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan mengedar dadah berjaya diberkas polis di daerah ini.
Tangkapan tersebut dibuat menerusi Op Tapis yang dilaksanakan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, ketika Op Tapis dijalankan, kelihatan seorang lelaki mencurigakan di persisiran pantai Tawau.
“Ketika diperiksa oleh anggota bertugas dijumpai lapan paket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki dadag jenis syabu disimpan didalam beg sandang miliknya,” katanya di sini, pada Isnin.
Ujarnya lagi, siasatan awal mendapati suspek berumur 24 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek adalah negatif dadah.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.