Projek Dua Tahun Tangani Konflik Buaya di Sabah

Projek Dua Tahun Tangani Konflik Buaya di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Projek Bersepadu Mitigasi dan Pengurusan Konflik Buaya dilancarkan di Sabah bagi menangani peningkatan interaksi antara manusia dan buaya air masin di sungai serta laluan air di seluruh negeri.

Projek selama dua tahun bermula Februari 2026 hingga Februari 2028 itu diterajui oleh Danau Girang Field Centre (DGFC) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah serta dibiayai oleh Yayasan Hasanah.

Pegawai Pemuliharaan Buaya DGFC, Dr Sai Kerisha Kntayya berkata, projek itu menggabungkan langkah pengurangan risiko fizikal, pemantauan populasi dan inisiatif keselamatan awam bagi mengurangkan konflik manusia-buaya secara berkesan dan berasaskan sains.

Katanya, penyingkiran atau pembunuhan buaya bukan penyelesaian jangka panjang kerana tidak menangani punca interaksi dan boleh mewujudkan rasa selamat yang palsu.

Antara komponen utama ialah pemasangan struktur mitigasi fizikal di kawasan berisiko tinggi, termasuk pembinaan Crocodile Exclusion Enclosure (CEE) di Batu Puteh, sepanjang Sungai Kinabatangan.

Struktur itu bertujuan menyediakan ruang lebih selamat untuk aktiviti sungai di kawasan yang mempunyai kehadiran buaya dan kebergantungan tinggi komuniti terhadap sungai. Batu Puteh dipilih sebagai projek perintis sebelum diperluas ke lokasi lain.

Projek turut melaksanakan pemantauan populasi buaya di seluruh negeri sebagai kesinambungan tinjauan 2017 hingga 2019, selain memperluas liputan ke tiga sungai tambahan di Pantai Barat susulan peningkatan laporan penampakan buaya.

Dalam pada itu, program kesedaran komuniti dan pemasangan papan tanda amaran baharu di kawasan berisiko tinggi akan dipergiat bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk serta pelawat.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata pendekatan bersepadu dan berteraskan komuniti itu menyokong pengurusan pemuliharaan buaya secara mampan di Sabah.

Pengarah DGFC, Dr Benoit Goossens pula berkata projek itu diharap dapat mengurangkan konflik di kawasan interaksi tinggi, meningkatkan keselamatan komuniti dan memastikan pengurusan buaya yang lebih berinformasi dalam jangka panjang.