Enggan Cari Rumput Untuk Lembu, Ibu di Indonesia Didakwa Bakar Anak Lelaki

Enggan Cari Rumput Untuk Lembu, Ibu di Indonesia Didakwa Bakar Anak Lelaki

0
SHARE

JAKARTA: Seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan melecur teruk selepas didakwa dibakar oleh ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di Dusun Karya Mulya, Desa Plampang, Kecamatan Plampang, pada Ahad.

Insiden kira-kira jam 12.30 tengah hari waktu tempatan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran selepas mangsa enggan memenuhi permintaan ibunya yang mahu dia mencari rumput untuk memberi makan lembu peliharaan keluarga.

Memetik Tribunnews, Menurut Ketua Polis Sektor Plampang, Iptu Joko Wilopo, mangsa sebelum itu sedang berehat di bahagian belakang rumah sebelum dibangunkan oleh suspek.

“Suspek meminta mangsa mencari rumput untuk ternakan mereka, namun mangsa menolak. Berlaku pertengkaran sebelum suspek mengambil botol berisi petrol dan menyiram ke arah mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa cuba membersihkan petrol daripada badannya, namun suspek didakwa menyalakan api menggunakan pemetik api sehingga menyebabkan tubuh mangsa terbakar.

Jeritan mangsa didengari adiknya berusia 23 tahun yang kemudian bergegas membantu dan memadamkan api dengan menyiram air.

Mangsa yang mengalami kecederaan melecur hampir di seluruh badan dihantar ke pusat kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Manambai Abdulkadir untuk rawatan lanjut.

Suspek berusia 48 tahun dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan kini menerima rawatan di Puskesmas Plampang di bawah pemantauan petugas perubatan.

Polis turut berkoordinasi dengan Unit Siasatan Jenayah Am, Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Sumbawa bagi menjalankan siasatan lanjut.

Siasatan masih diteruskan termasuk mengambil keterangan saksi dan mengumpul bukti bagi tindakan selanjutnya.