KOTA KINABALU: Penutupan kecemasan terminal gas milik Petronas pada Rabu telah menjejaskan bekalan gas ke beberapa stesen janakuasa, memaksa Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) melaksanakan catuan bekalan elektrik secara bergilir di seluruh Sabah.
Ketua Pegawai Operasi SE, Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, insiden berlaku pada jam 2.11 petang, menyebabkan stesen janakuasa terpaksa beralih kepada diesel, mengurangkan kapasiti penjanaan grid Sabah dan Labuan sebanyak 60MW.
Catuan pertama berlangsung dari 2.38 petang hingga 4.53 petang melibatkan kawasan seperti Pitas, Papar, Keningau, Kunak, Balung dan Tawau.
Pusingan kedua bermula 6.38 petang dan menjejaskan kawasan lebih luas termasuk Kudat, Tuaran, Sandakan dan Semporna. Bekalan pulih sepenuhnya pada jam 9.36 malam.
“Sabah Electricity memohon maaf atas kelewatan pemakluman dan berharap pengguna memahami kekangan yang kami hadapi dalam memastikan kestabilan bekalan,” katanya.
Pengguna boleh menghubungi SESB melalui talian 15444, 088-515000, WhatsApp 019-852 5427 atau aplikasi rasmi SESB untuk sebarang maklumat lanjut.






