KOTA KINABALU, SABAH – Polis menahan seorang lelaki kerana menembak seorang pemotong rumput menggunakan pistol angin di kawasan perumahan di Luyang, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata peluru itu menembusi lengan kanan mangsa berusia 23 tahun sehingga mencederakan rusuknya dalam kejadian 9.30 pagi itu.
“Mangsa dan seorang rakannya sedang berehat daripada memotong rumput apabila mangsa tiba-tiba merasa sakit.
“Mereka berkata tidak mendengar bunyi tembakan kerana ia bising dengan semua aktiviti memotong rumput yang sedang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Kasim berkata seorang suspek kemudiannya ditahan dan rampasan termasuk beberapa senapang angin dan tiga pisau kerambit yang disimpan di belakang pintu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.





