Pesta Kaamatan Boleh Dikenali Sebagai Kaamatan Kebangsaan

Pesta Kaamatan Boleh Dikenali Sebagai Kaamatan Kebangsaan

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (tengah) menerima cenderamata berupa sigar yang disampaikan oleh Jeffrey ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan di peringkat Negeri Sabah boleh dikenali sebagai perayaan Kaamatan Kebangsaan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan berkenaan berkata ia memandangkan perayaan tahunan etnik KadazanDusun, Murut dan Rungus (KDMR) itu turut disambut masyarakat Madani di beberapa buah negeri di Semenanjung, di samping sambutan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei ini.

“Pesta Kaamatan ini boleh dijadikan sambutan peringkat kebangsaan sebab apa, negeri-negeri di Semenjung pun terlibat dan yang merasmikan adalah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Jadi, sesuai juga kerana kita mahu mengangkat Pesta Kaamatan ini ke peringkat kebangsaan dengan penglibatan semua di Malaysia ini dengan PM juga merasmikan Pesta Kaamatan,” jelas beliau kepada media selepas mengetuai Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan 2024 dalam kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, semalam.

Mengenai kelainan sambutan pada tahun ini, ujar Jeffrey, Tun Juhar akan merasmikan sambutan itu pada 30 Mei manakala perasmian penutupan pula akan disempurnakan oleh Anwar.

“Saya telah selesai membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun dan memberi sedikit taklimat tentang peranan beliau nanti semasa perasmian Tadau Kaamatan peringkat negeri atau peringkat kebangsaan sudah ini pada 30 Mei.

“Ada kelainan sedikit sebab biasanya dia (Tun Juhar) rasmi tutup pada 31hb tetapi kali ini dia minta supaya dia merasmikan pada 30 Mei ini disebabkan 31 adalah hari Jumaat.

“Dalam masa yang sama, kita telah membuat sedikit adjustment yang mana Yang Amat Berhormat PM akan merasmikan Pesta Kaamatan pada 31 Mei,” tambah beliau.

Pesta Kaamatan dilancarkan pada setiap 1 Mei di daerah tertentu secara bergilir menandakan bermulanya sambutan di peringkat kampung dan daerah, sebelum acara kemuncak di peringkat negeri iaitu di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Penampang pada 30 dan 31 Mei.

Pada tahun ini, pelancaran Pesta Kaamatan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah yang diwakili oleh Jeffrey di Dewan Masyarakat Ranau pada 1 Mei lalu. — JABATAN PENERANGAN SABAH