Pelajar Maut Dihempap Tiang Gol, Lelaki Mabuk Tumbuk Telinga Wanita Diburu

Pelajar Maut Dihempap Tiang Gol, Lelaki Mabuk Tumbuk Telinga Wanita Diburu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang remaja lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia dihempap tiang gol semasa hari sukan SK Lok Yuk yang diadakan di padang bola di Pekan Menggatal di sini pada Khamis.

Insiden 12.20 tengah hari itu disaksikan bapa mangsa, seorang lelaki Dusun yang hadir memberi sokongan kepada anaknya.

Menurut Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah, pelajar-pelajar mula berkumpul mengelilingi mayat mangsa.

“Bapa mangsa segera menghubungi 999 dan mangsa dikejarkan ke Hospital Likas menggunakan ambulans…

“Siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang kesan jenayah. Mangsa maut terhempap dalam kemalangan membabitkan tiang gol dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut.

“Walau bagaimanapun, siasatan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sementara itu, polis sedang mencari seorang lelaki mabuk yang menumbuk telinga kanan seorang wanita di kawasan pusat bandar pada malam Selasa.

Zaidi berkata, rakaman video kejadian pukul 9 malam di lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah tular baru-baru ini.

“Suspek turut bergelut dengan teman lelaki wanita itu. Pasangan tersebut baru sahaja pulang dari kerja di sebuah restoran dalam pusat beli-belah itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.