Penunggang Motosikal Cedera Dihempap Pokok Tumbang di Jalan Tuaran ByPass

Penunggang Motosikal Cedera Dihempap Pokok Tumbang di Jalan Tuaran ByPass

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia sekitar 55 tahun cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang pokok dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Tuaran ByPass, berhampiran Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada petang kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 petang dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

“Insiden melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha NVX yang dipercayai hilang kawalan selepas dihempap pokok tumbang. 

“Mangsa mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota dari BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan dua jentera, iaitu satu jentera FRT dan satu unit EMRS, diketuai oleh Komander Operasi PBK I Nirwan Ilyas.

Turut hadir membantu dalam operasi adalah anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.53 petang setelah pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.