Lebih Lama, Berani Bersuara Demi UMNO Berbanding Ahli Sendiri – Zulkarnain

Lebih Lama, Berani Bersuara Demi UMNO Berbanding Ahli Sendiri – Zulkarnain

0
SHARE

KOTA KINABALU: Aktivis politik veteran Sabah, Datuk Zulkarnain Mahdar tampil mempertahankan diri daripada tuduhan tidak setia kepada UMNO.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) itu menegaskan bahawa beliau selama ini lebih konsisten memperjuangkan kepentingan parti dan rakyat berbanding individu dalam kepimpinan UMNO negeri itu sendiri.

Beliau menyifatkan kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman terhadap dirinya baru-baru ini sebagai “tidak cerdik dan berniat jahat”.

Malah beliau mendakwa Rosman sebenarnya gagal menunjukkan kesetiaan sebenar kepada perjuangan UMNO ketika parti itu berdepan cabaran besar.

“Saya sudah bersuara mempertahankan prinsip sejak 1995, termasuk menentang keputusan UMNO apabila perlu. Tapi saya tetap bersama perjuangan parti ketika ia kembali ke landasan betul.

“Di mana Rosman ketika UMNO ditumbangkan oleh Warisan pada 2018? soal Zulkarnain dalam satu kenyataan hari ini.

Keratan akhbar Zulkarnain menyerang UMNO melalui Kumpulan Belia Pencinta Nusa (CINTANUSA) pada tahun 2001 apabila tidak bersetuju dengan keputusan Tun Mahatir menggilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah…

Menurut Zulkarnain, sejarah politiknya membuktikan kesetiaan kepada perjuangan parti dan rakyat, bukan kepada individu atau jawatan.

Beliau menegaskan tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik, namun tetap lantang menentang kepimpinan yang dianggap merugikan rakyat Sabah termasuk UMNO sendiri apabila perlu.

“Saya bukan ahli parti, tetapi saya lebih berani bersuara mempertahankan UMNO daripada mereka yang memegang jawatan dalam parti tetapi hanya berdiam diri ketika Warisan merosakkan ekonomi Sabah,” katanya.

Zulkarnain turut menyifatkan pelantikan Rosman ke jawatan strategik dalam UMNO Sabah sebagai satu kesilapan besar oleh Bung Moktar Radin, dengan mendakwa Rosman gagal membantu usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

“Rosman tidak pernah menentang Warisan secara terbuka ketika mereka memerintah, tetapi kini sibuk menyerang kerajaan GRS-PH yang jauh lebih stabil.

“Ini jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang tidak konsisten dan tidak setia kepada perjuangan UMNO,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar jawatan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah diberikan kepada anak muda yang lebih layak dan berwibawa seperti bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Ir Julkarnain.

“UMNO Sabah sekarang seperti kehilangan arah apabila meletakkan individu yang tidak berani berjuang ketika waktu sukar, tetapi kini lantang hanya demi kepentingan politik tertentu,” kata Zulkarnain.