Sabah Komited Perluas Kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Crocker Range Biosphere...

Sabah Komited Perluas Kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Crocker Range Biosphere Reserve

0
SHARE

TUARAN: Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha memelihara khazanah alam semula jadi negeri ini melalui peluasan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) dan Crocker Range Biosphere Reserve, sejajar dengan matlamat pembangunan lestari negeri di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengiktirafan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia dan Global Geopark, serta Banjaran Crocker sebagai Biosphera Reserve, meletakkan Sabah sebagai antara tiga kawasan di dunia yang mencapai gelaran “Triple Crown of UNESCO”.

“Ini bukan sahaja satu penghormatan, tetapi satu tanggungjawab besar. Kita mesti memperkukuhkan asas saintifik, meningkatkan kesedaran awam serta memelihara sumber semula jadi secara berterusan,” katanya pada Majlis Pelancaran Proses Konsultasi Bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik Peluasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve di Linangkit Cultural Village pada Sabtu.

Katanya, cadangan peluasan KUGGP ke daerah Tuaran, merupakan langkah strategik yang menerima sokongan penuh kerajaan negeri. Kawasan ini bukan sahaja kaya dengan biodiversiti tetapi juga berpotensi tinggi dalam sektor eko-pelancongan dan pembangunan komuniti.

Hajiji turut mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sebuah Pusat Kesedaran Awam atau galeri info di Tuaran, sebagai syarat tambahan bagi memenuhi kriteria UNESCO. Pusat ini akan berfungsi sebagai platform utama untuk penyebaran maklumat dan pendidikan kepada masyarakat setempat.

“Saya mahu Jawatankuasa KUGGP bersama Pejabat Daerah Tuaran kenal pasti lokasi yang sesuai untuk penubuhan pusat ini. Ia penting bagi menyokong kesedaran komuniti terhadap kepentingan Geopark,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan Geopark tidak hanya tertumpu kepada sains dan pemuliharaan, malah mampu memperkasa ekonomi komuniti melalui pelancongan berasaskan geokhazanah.

Sabah, katanya, memiliki kelebihan semula jadi yang tidak terdapat di negeri lain seperti hutan hujan tropika, gunung, laut dan biodiversiti yang luar biasa.

Hajiji turut memberi contoh beberapa lokasi eko-pelancongan yang berjaya seperti Nohutu Eco-Tourism di Kota Belud, Kiulu Farmstay, Walai Tobilung Cultural Centre di Kota Marudu, dan Misompuru Homestay di Kudat, yang boleh dijadikan model kepada pembangunan eko-pelancongan di Tuaran.

Menyentuh kejayaan Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang baru selesai dilaksanakan, beliau berharap hasil kajian tersebut dapat didokumentasikan secara menyeluruh untuk dijadikan asas dalam pembangunan pelan pengurusan, garis panduan serta bahan pendidikan berkaitan peluasan kawasan Geopark.

Katanya, Kerajaan negeri turut merancang ekspedisi saintifik tambahan di sekitar Banjaran Crocker, melibatkan daerah Ranau dan Tuaran sebagai persediaan memperluaskan lagi kawasan Crocker Range Biosphere Reserve.

“Kejayaan Geopark tidak hanya terletak pada namanya, tetapi pada usaha kolektif kita untuk belajar, berkongsi, dan melindungi khazanah alam ini agar kekal untuk generasi akan datang,” katanya.

Hajiji yakin peluasan kawasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve akan memberi manfaat menyeluruh, termasuk pemeliharaan alam sekitar, peningkatan pendidikan komuniti serta pembangunan sosioekonomi negeri.

Majlis itu telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, penyelidik institusi pengajian tinggi, wakil komuniti tempatan serta badan bukan kerajaan (NGO), yang bersama-sama menjayakan ekspedisi saintifik dan rundingan pelanjutan kawasan Geopark.