PENAMPANG, SABAH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah mengenal pasti 491 premis berisiko tinggi.
Pengarahnya, Abdul Razak Muda berkata, premis-premis berkenaan sepatutnya memiliki Sijil Perakuan Bomba ataupun Fire Certificate (FC).
“Pihak JBPM telah mengenal pasti dan mendapati hanya 284 premis sahaja yang mempunyai FC manakala 207 masih lagi belum memohon atau belum memperbaharui sijil tersebut.
“Tahun lepas, tindakan undang-undang telah diambil terhadap lapan premis yang mana tujuh dikenakan kompaun manakala satu premis di Lahad Datu ditutup atas arahan mahkamah.
“Secara perbandingan, setakat Februari tahun ini, sebanyak tujuh kes diangkat ke mahkamah melibatkan empat di Kota Kinabalu, dua di Tawau dan satu di Lahad Datu.
“Ini menunjukkan JBPM Negeri Sabah pada tahun ini sangat serius dalam memastikan agar perakuan keselamatan kebakaran bomba ini dipatuhi sepenuhnya oleh setiap premis,” ujarnya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan di sini, pada Khamis.
Beliau menggesa semua agensi kerajaan dan swasta memberikan kerjasama kepada JBPM dalam membendung kes kebakaran terutamanya kebakaran bangunan agar tidak meningkat pada tahun ini.
Dalam pada itu, sempena dengan perayaan Tahun Baru Cina, Abdul Razak menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dari aspek keselamatan dan pencegahan kebakaran di kediaman masing-masing.
“Saya ingin menggesa penghuni-penghuni domestik agar memastikan peralatan elektrik ditutup semasa meninggalkan rumah untuk balik ke kampung dan juga tidak membuat sistem pendawai elektrik sewenang-wenangnya.
“Orang dewasa juga dinasihatkan untuk memantau anak-anak ketika melakukan aktiviti bermain mercun agar tidak melakukan aktiviti yang boleh membahayakan mereka,” tambahnya.
Antara pengisian pada majlis berkenaan adalah pertandingan mewarna kanak-kanak, penyampaian sijil Perakuan Bomba kepada dua premis baru yang pertama kali mendapat Perakuan Bomba, pameran keselamatan kebakaran serta pertunjukan kebombaan.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Superintenden Sammy Newton, Pengurus Besar International Technology & Commercial Centre (ITCC), Benjamin Malakun, Penolong Pegawai Operasi Negeri JBPM, Penguasa Bomba Kanan I, Hamsah Isnurdini dan Penolong Pegawai Pentadbiran Daerah, Noemi Dyena Johntren. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ