LHDN Sekat 5,840 Individu, 946 Pengarah Syarikat di Sabah Ke Luar Negara

LHDN Sekat 5,840 Individu, 946 Pengarah Syarikat di Sabah Ke Luar Negara

0
SHARE
Lhdn
Rombongan LHDNM Sabah bergambar kenangan bersama pegawai tertinggi Japen Sabah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 5,840 individu dan 946 syarikat di Sabah disekat perjalanan ke luar negara kerana tunggakan cukai setakat 31 Disember 2023.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Sabah, Azrul Hisham Shamsudin berkata untuk kategori individu, jumlah tunggakan cukai mencecah RM285,435,482.

“Manakala bagi kategori syarikat, jumlah tunggakan cukai terkumpul adalah sebanyak RM 763,721,899.05,” katanya ketika ditemui di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kepayan, pada Jumaat.

Di samping itu, beliau turut menasihatkan seandainya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka dimohon melakukan pembayaran atau menghubungi pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka untuk rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

“Pembayar cukai dinasihatkan tampil ke pejabat HASiL bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya berhadapan kesalahan atau kesulitan,” ujarnya.

Azrul turut memaklumkan sejajar pemerkasaan e-perkhidmatan percukaian, 19 perkhidmatan diwajibkan diisi secara dalam talian menerusi  portal MyTax.

“Perkhidmatan-perkhidmatan tersebut antaranya e-Daftar, e-Kemaskini Profil Diri Syarikat/Individu, e-Anggaran, TAeF, E-KYC, e-PCB, e-CKHT 502, MITRS, e-Filling, STAMPS dan e-BNT Syarikat.

“Selain itu, penggunaan mandatori portal MyTax turut merangkumi e-CP55D, e-CP39, e-Data PCB, e-Data Praisi/e-CP8D, e-Residen dan e-SPC Individu/selain Individu.

“Bagaimanapun, sekiranya mempunyai permasalahan untuk mengisi borang percukaian dalam talian, pelanggan masih boleh hadir ke LHDN berdekatan dan akan dipandu oleh pegawai bertugas mengisi portal MyTax,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Timbalan Pengarah Japen Sabah Supian Musa, Pengarah Operasi Negeri Seksyen Khidmat Pelanggan LHDN, Naharuddin Nurdin, Pengurus UTC, Johari Bakar dan Pengurus Unit Pendidikan Percukaian Alexander Iskandar Tanggang Mahmud. — JABATAN PENERANGAN SABAH¬†