KOTA KINABALU, SABAH – Tamu Segama sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2024 berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung.
Acara yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) itu disertai oleh 600 peniaga yang datang dari seluruh Sabah dengan membawa jualan masing-masing di sepanjang Jalan Segama itu.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan Tarian Singa dan Naga oleh Kumpulan Tarian Singa Nan Bang, persembahan kebudayaan dan tarian moden oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, persembahan artis tempatan serta cabutan bertuah.
Menteri Pelancongan Kebudayaan Dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew ketika merasmikan program itu merakamkan ucapan syabas dan terima kasih kepada pihak penganjur yang berjaya menghimpunkan seluruh masyarakat dari pelbagai kaum untuk sama-sama meraikan sambutan yang cukup meriah itu. — JABATAN PENERANGAN SABAH