
TEHRAN, IRAN – Satu video viral di media sosial di mana seorang lelaki tergamak memenggal kepala isterinya dan menayangnya di jalan raya selepas dia mendapati isterinya berlaku curang, telah menggemparkan masyarakat Iran.
Menurut laporan agensi berita ISNA, polis percaya mangsa, Mona Heidari, 17, dibunuh oleh suami dan abang iparnya di bandar Ahvaz, Iran.
Bagaimanapun, pada Isnin lalu, polis telah menyerbu tempat persembunyian kedua-dua suspek dan mereka telahpun ditahan.
Susulan kejadian berkenaan, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Iran, Ensieh Khazali, menggesa Parlimen dan pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk menangani kes seperti itu.
Sementara itu, akhbar Iran dan media sosial dibanjiri dengan kemarahan terhadap pembunuhan itu, sekali gus menuntut pembaharuan sosial dan undang-undang.
“Seorang manusia telah dipenggal kepalanya, kepalanya kemudian dipamerkan di jalanan oleh pembunuhnya yang bangga dengan perbuatannya…
“Bagaimana kita boleh menerima tragedi seperti itu? Kita mesti bertindak agar pembunuhan seperti ini tidak akan berlaku lagi,” lapor akhbar reformis Sazandegi.
Susulan dari kes itu, pelbagai pihak tampil menggesa kerajaan memperbaharui undang-undang untuk melindungi wanita dari keganasan rumah tangga dan meningkatkan umur yang sesuai untuk berkahwin berbanding had umur 13 tahun yang ditetapkan.
Media tempatan melaporkan mangsa berusia 12 tahun ketika berkahwin dan turut mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun.
Difahamkan, pihak berkuasa bertindak menutup laman berita Rokna gara-gara ia menyiarkan rakaman video tular tersebut kerana didakwa ‘mengganggu psikologi masyarakat’.
Pada Mei 2020, seorang lelaki bertindak memenggal kepala anak perempuannya berusia 14 tahun yang mencetuskan kemarahan orang ramai. Akibat daripada perbuatannya itu, dia dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun.