KOTA BELUD: “Kita bukan pelengkap korum, kita adalah penggerak utama,” demikian antara mesej yang disampaikan Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Siti Syahfarahain Mohammad Syahrul dalam ucapannya pada Persidangan Beliawanis Bahagian Usukan, Sabtu lalu.
Berucap di hadapan para ahli dan pemimpin akar umbi Beliawanis, beliau menegaskan bahawa peranan wanita muda kini bukan lagi sekadar penghias majlis atau pelengkap angka dalam mesyuarat sebaliknya telah berkembang sebagai pelaksana, pemimpin, dan penyambung harapan rakyat di peringkat akar umbi.
“Beliawanis di N.10 Usukan bukan lahir dalam keadaan sempurna, tetapi lahir dengan semangat. Kita bermula dengan tekad kecil, tapi hati yang besar,” tegasnya.
Menurut Siti Syahfarahain, sehingga kini sebanyak 38 cawangan Beliawanis telah berjaya diwujudkan di bawah DUN Usukan dan ini menandakan satu pencapaian besar yang membuktikan kekuatan jentera wanita muda di kawasan tersebut.
Beliau turut mengiktiraf sokongan yang diberikan oleh Ketua Bahagian, AJK Cawangan, Pemuda, Wanita serta para ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membina kekuatan Beliawanis.
Beliau dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan padu kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang dilihat telah melaksanakan pelbagai inisiatif inklusif seperti Dana Usahawan Belia, Program Rumah SMJ dan program kepimpinan belia.
“Ini bukan janji kosong, tetapi realisasi dasar yang inklusif dan menyeluruh, kita tidak boleh hanya bergantung kepada media. Kitalah penyambung suara kerajaan sampai ke telinga rakyat,” tambahnya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, Siti Syahfarahain turut menyatakan komitmen Beliawanis untuk menggerakkan jentera secara menyeluruh demi kemenangan calon tunggal GRS di Usukan, Datuk Japlin Akim.
Katanya, Beliawanis bersedia turun rumah ke rumah, bukan hanya sebagai sukarelawan tetapi sebagai pendidik politik dan penghubung harapan rakyat.






