SPR Tunggu Makluman Rasmi Speaker DUN Sarawak

SPR Tunggu Makluman Rasmi Speaker DUN Sarawak

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menunggu pemakluman rasmi oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung status Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon yang dilucutkan keanggotaannya pada persidangan DUN Sarawak kelmarin, 12 Mei 2017.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ketika ini pihaknya hanya mengetahui laporan mengenai pelucutan keanggotaan wakil rakyat DAP itu yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan daripada media massa.

Sehubungan itu, SPR akan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu selepas menerima pemakluman secara rasmi, katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Bernama.

Untuk rekod DUN Sarawak sebelum ini telah melucutkan kelayakkan Dr Ting sebagai ADUN Pujut pada persidangan DUN selepas Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Wong Soon Koh membentangkan usul untuk melucutkan kelayakan Dr Ting.

Wong turut mendakwa Ting memiliki kewarganegaraan Australia dan seterusnya mengemukakan usul itu.

Ting dikatakan telah melanggar undang-undang berkaitan (1)(g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.

Menurut Wong lagi, “Ting telah didaftarkan sebagai pengundi di Australia dan berikrar taat setia kepada negara di luar Persekutuan Malaysia dan kerakyatan Australia miliknya hanya dilepaskan pada 4 April 2016, tiga minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri Sarawak yang lepas”.