Lima Lelaki Ditahan Susulan Kes Pemandu Maut Dipukul

Lima Lelaki Ditahan Susulan Kes Pemandu Maut Dipukul

0
SHARE
Zaid Hassan, Ketua Polis Kajang

KAJANG: Lima lelaki ditahan polis susulan kejadian kes pemandu kereta maut akibat diikat kemudian dipukul selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2 pada Selasa lalu (20 Feb).

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Saga warna kelabu dipercayai telah terbabas melanggar pagar kawasan perumahan.

“Manakala, mangsa iaitu pemandu Saga berada di luar atas jalan dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat. 

“Pihak ambulans yang hadir ke lokasi kejadian ketika itu juga telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat saksi iaitu penghuni di kawasan perumahan tersebut melihat mangsa yang terbabas telah ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki dan dipukul kemudian tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran keretanya.

“Apabila kenderaan peronda polis tiba di lokasi kejadian, semua suspek yang berada di lokasi kejadian telah beredar.

“Pasukan forensik PDRM Bukit Aman telah hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut beberapa sample swabbing darah termasuk kesan cap jari telah diambil dan turut dirampas dua utas gumpalan tali warna hijau coklat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, polis dari IPD Kajang telah menahan empat lelaki Melayu dan seorang lelaki India berumur lingkungan 22 hingga 52 tahun di sekitar kawasan Semenyih dan Beranang. Semua suspek telah direman lima hari sehingga 25 Feb bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Bahagian trafik turut membuka siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.