Hentikan Segera Aktiviti Perlombongan Emas di Bukit Mantri, Balung, Tawau

Hentikan Segera Aktiviti Perlombongan Emas di Bukit Mantri, Balung, Tawau

0
SHARE
Sazalye Donol Abdullah, Ahli MPN PKR Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan satu Perintah Berhenti Kerja menerusi Ketua Inspektor Jabatan Mineral dan Geosains sejak 1 November 2023, namun Perintah ini tidak dipatuhi oleh Operator Perlombongan Emas di Tawau sehingga ke hari ini.

Operator Perlombongan tersebut mendakwa telah meneruskan operasi Perlombongan Emas melalui permit dibawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960 yang digubal sebelum tahun 1963. Ordinan berkenaan memperuntukkan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur menjadi Ketua Inspektor Perlombongan di Negeri Sabah, Datuk Bernard Liew.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Sazalye Donol Abdullah dalam kenyataan berkata, sekiranya aktiviti itu mendapat kebenaran Kerajaan Negeri, ia perlu disiasat sama ada aktiviti berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan sama ada syarikat ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Kami juga percaya bahawa syarikat ini telah gagal mengemukakan Permohonan Skim Pengendalian Melombong untuk kelulusan bagi operasi perlombongan dan seterusnya gagal untuk mendapatkan lesen melombong serta gagal membuat kajian impak alam sekitar yang merupakan syarat utama dalam permohonan lesen melombong.

“Jika hasil siasatan menunjukkan aktiviti melombong di kawasan itu dijalankan secara haram, pihak kerajaan negeri perlu mengambil tindakan drastik untuk menutup segera operasi berkenaan. 

“Justeru, pihak berkuasa terutamanya Jabatan Pelrindungan Alam Sekitar (JAS) Tawau perlu turun menjalankan siasatan terperinci dan memantau tahap kualiti udara di sekitar kawasan lombong,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Cabang, PKR Kota Marudu berkata, Perlombongan Emas oleh Operator Perlombongan adalah menyalahi undang-undang kerajaan negeri dan mereka perlu menjelaskan status kawasan aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung yang kini dijalankan secara haram tanpa mendapat pembaharuan Lesen Perlombongan sejak bulan November 2023.

“Kami mendapat tahu bahawa pada awal bulan ini, pihak Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas 110kg emas daripada syarikat berkenaan tetapi ianya dikembalikan semula kepada syarikat berkenaan.

“Memandangkan urusniaga pembelian dan penjualan mineral daripada lombong tersebut tidak boleh dijalankan tanpa Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) yang sah, oleh itu, 110kg emas yang dikembalikan hendaklah dirampas dan dikembalikan menjadi hak kerajaan,” tegasnya.