RM474.55 JUTA UNTUK PERKUKUHKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN, TINGKAT PENDIDIKAN

RM474.55 JUTA UNTUK PERKUKUHKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN, TINGKAT PENDIDIKAN

0
SHARE
Hajiji
Arifin sekitar Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kali Ke-9 di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) - ( Sumber Foto: Ihsan KSTI Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta pada tahun ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, peruntukan itu antaranya untuk biasiswa dan dermasiswa, pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid, pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian, operasi perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh negeri serta pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran.

Menurutnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan
generasi akan datang yang cemerlang, berdaya saing, berpengetahuan dan berkemahiran.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan serta isu pendidikan sebagai sebahagian agenda negara, selain secara berterusan meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kali Ke-9 di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, semalam.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk
Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif.

Seramai 625 peserta KEDAP menerima sijil tamat belajar pada majlis itu.

Katanya, pendekatan pembelajaran sepanjang hayat Kementerian Pendidikan bukan sahaja untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun mendapat pendidikan prasekolah secara formal, malah orang dewasa boleh mendapat pendidikan seperti melalui Program KEDAP yang menyediakan pendidikan asas kepada ibu bapa yang buta huruf dalam masyarakat luar bandar.

Beliau berharap kejayaan peserta KEDAP menamatkan program mereka, akan meningkatkan kadar celik huruf di negara ini sekaligus menjadi perangsang kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.

“Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepentingan pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya.