Hampir RM1 Bilion Pacu Pertanian, Industri dan Pelancongan, Hajiji Mahu Potensi Setiap...

Hampir RM1 Bilion Pacu Pertanian, Industri dan Pelancongan, Hajiji Mahu Potensi Setiap Daerah Dimanfaatkan

0
SHARE

KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion tahun ini bagi memperkasa sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, dengan setiap daerah diminta mengenal pasti serta memanfaatkan kekuatan ekonomi masing-masing untuk menjana pelaburan, pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap daerah mempunyai potensi tersendiri sama ada dalam sektor pertanian, pelancongan, sumber marin, industri mahupun perdagangan yang perlu dibangunkan secara terancang.

“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada yang mempunyai sumber marin. Ada juga yang mempunyai potensi dalam industri dan perdagangan.

“Potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang. Tugas kita ialah memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-29 di Hotel Perkasa, di sini, pada Isnin.

Hajiji turut melihat Ekonomi Biru sebagai antara bidang yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, khususnya di kawasan luar bandar berdasarkan kekayaan sumber marin, biodiversiti dan kawasan pesisir Sabah.

“Potensi ini perlu dimanfaatkan secara berhemah untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat.

“Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi tersebut dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mempunyai siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion tahun ini bagi melaksanakan 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), jumlah tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.

Daripada jumlah itu, 241 merupakan projek sambungan manakala 932 lagi adalah projek baharu.

“Semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.

Justeru, beliau mahu Pegawai Daerah memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan setiap projek dan program dengan pemantauan dilakukan secara berterusan supaya masalah atau kelewatan dapat dikenal pasti lebih awal.

Menurut Hajiji, kejayaan pembangunan juga tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah projek yang diluluskan atau disiapkan, sebaliknya melalui impak sebenar yang diterima rakyat.

“Kita perlu melihat kepada impak untuk rakyat. Adakah masalah rakyat telah diselesaikan, kemudahan mereka bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan adakah kualiti hidup rakyat meningkat?

“Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya.

Beliau memberi jaminan pembangunan luar bandar akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, khususnya melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, selain perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan serta pembangunan ekonomi masyarakat.

“Kita mahu jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan,” katanya.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam termasuk menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah atas pembangunan Aplikasi Online Rumah Mesra Sabah Maju Jaya yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, telus dan mesra rakyat.

Beliau turut mahu budaya kerja pentadbiran daerah terus diperkukuh dengan mengutamakan perkhidmatan pantas, keputusan tepat, tatakelola baik dan kepentingan rakyat.

“Kejayaan kerajaan bukan hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan tetapi melalui perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

“Apabila jalan menjadi lebih baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya.

Hajiji turut mengajak seluruh jentera kerajaan memperkukuh pentadbiran daerah dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sabah.

“Jadikan Pejabat Daerah sebagai institusi yang cekap, responsif, berintegriti dan dekat dengan rakyat.

“Dengan komitmen seluruh jentera kerajaan, saya yakin kita mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negeri dan menjayakan Sabah Maju Jaya 2.0 demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.