RANAU: Masyarakat di Sabah khususnya golongan belia digalak mengubah persepsi terhadap sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi, inovasi dan ilmu pengetahuan bagi menjadikannya sebagai kerjaya moden serta peluang keusahawanan yang mampu menjana pendapatan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sektor pertanian tidak lagi harus dilihat sebagai pekerjaan tradisional semata-mata, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai industri moden dan komersial.
“Dengan lebih ramai menceburi bidang ini, kita mampu memperkukuh ekonomi luar bandar dan memajukan sektor pertanian Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Inovasi Pembuatan Baja Organik Peringkat Mukim Tambiau Mohimboyon di Kampung Kibbas Sokid, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi kursus serta program berkaitan pertanian perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti dan mengembangkan aktiviti pertanian kepada skala yang mempunyai nilai komersial.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan bagi menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.
Antaranya ialah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) dan Program Agropreneur Muda yang menyediakan ruang kepada generasi muda untuk membina serta mengembangkan perniagaan.
“Usaha itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk melahirkan bukan sahaja belia yang aktif dalam bidang pertanian, tetapi juga usahawan muda yang mampu menggerakkan industri pertanian Sabah,” katanya.
Sementara itu, Kursus Inovasi Pembuatan Baja Organik berkenaan dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan kemahiran kepada masyarakat setempat dalam menghasilkan baja organik untuk kegunaan pertanian.
Program itu turut menggalakkan penggunaan semula bahan organik yang sebelum ini dianggap sebagai sisa untuk diolah menjadi produk yang memberi manfaat kepada aktiviti pertanian.
Seramai 30 peserta daripada pelbagai peringkat umur menyertai kursus berkenaan dan masing-masing menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan.






