KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.57 bilion bagi melaksanakan 53 projek kesihatan di Sabah, termasuk pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta, selain mewujudkan 607 jawatan baharu bagi memperkukuh sistem penyampaian kesihatan di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merupakan antara perancangan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memenuhi keperluan kesihatan rakyat Sabah, seiring kemajuan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, peruntukan RM1.57 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama (RP1) itu merangkumi 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu.
“Antara projek baharu termasuklah pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta dan Klinik Kesihatan Jenis 5 Sapulut, Nabawan berserta kuarters dengan kos RM81.95 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026, di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, fasa rundingan berhubung permintaan MA63 berkaitan pembangunan kesihatan Sabah menerusi lima jawatankuasa kecil kini berjalan lancar.
Katanya, KKM dan Kerajaan Negeri Sabah kini akan memberi fokus secara tuntas ke arah fasa pelaksanaan menyeluruh, manakala kemajuan rundingan serta pelaksanaannya akan dipantau menerusi sistem Balanced Scorecard berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Selain pembangunan fasiliti, beliau berkata, aspek perjawatan dan sumber manusia turut diperkasakan dengan sebanyak 607 jawatan baharu berjaya diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos lalu.
Jumlah itu merangkumi 355 jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional, termasuk 77 jawatan pakar serta 203 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, selain 252 jawatan Kumpulan Pelaksana.
“Penambahan ini bagi memastikan operasi fasiliti berada pada kapasiti optimum,” katanya.
Dalam aspek kewangan, Dzulkefly berkata KKM turut menetapkan sasaran unjuran peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Melalui perancangan strategik itu, katanya, peruntukan kesihatan kepada Sabah dijangka melonjak kepada RM4 bilion menjelang 2030.
Sementara itu, KKM turut meluluskan peruntukan segera hampir RM4.3 juta bagi menangani beberapa keperluan mendesak di Hospital Tambunan, Hospital Ranau dan Hospital Kota Belud susulan lawatan kerja Dzulkefly ke tiga hospital daerah berkenaan.
Hospital Tambunan menerima RM988,000 bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan, membaiki kantin yang rosak serta memperoleh kelengkapan perubatan.
Bagi projek Jabatan Pesakit Luar (JPL) Hospital Tambunan yang terbengkalai selama sembilan tahun, Dzulkefly berkata projek itu diputuskan untuk dibatalkan dengan tumpuan diberikan kepada pembinaan hospital baharu sebagai gantian.
Kerja awalan kini dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan KKM memohon butiran penuh projek berkenaan di bawah RP3 RMK-13.
Hospital Ranau pula menerima RM1.279 juta, termasuk RM950,000 bagi pembinaan semula kaunter Triage, pembaikan kantin, peningkatan kapasiti transformer elektrik untuk pemasangan pendingin hawa dan perolehan tiga unit peti mayat baharu.
Sebanyak RM329,000 lagi diperuntukkan bagi peralatan perubatan penting, selain kelulusan mendapatkan empat ambulans baharu.
Berhubung cadangan pembinaan hospital baharu Ranau, Dzulkefly berkata KKM mahu satu kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan segera bagi meneliti pilihan memperbaharui hospital di tapak sedia ada.
Hospital Kota Belud pula menerima RM2.01 juta bagi menangani kesesakan Unit Pesakit Luar yang menampung purata 261 pesakit sehari.
Daripada jumlah itu, RM1 juta diperuntukkan untuk menaik taraf Unit Pesakit Luar, RM510,000 bagi kelengkapan Unit Pergigian dan RM500,000 untuk memperoleh mesin Mobile X-Ray baharu bagi menggantikan aset lama berusia 18 tahun.
“KKM amat menyanjung tinggi sikap keterbukaan dan kerjasama luar biasa Kerajaan Negeri Sabah sepanjang proses rundingan MA63 ini.
“Kami akan terus menggembleng tenaga memastikan seluruh ketetapan ini direalisasikan dengan jayanya demi menjamin kualiti dan kesejahteraan kesihatan seluruh rakyat Sabah,” katanya.






